Tuesday

Kampung Asli Bongkok


Hari semalam (13.07.2009 -Isnin) Perpustakaan Awam Daerah Bera telah membuat tinjuan di Kampung Asli Bongkok bagi mengadakan aktiviti perpustakaan sempena Sambutan Bulan Dakwah Peringkat Daerah Bera 2009. Sambutan ini akan diadakan pada 14 hingga 16 Julai 2009 di Kg Asli Bongkok.

Sampai di Kg Asli Bongkok kami terus berjumpa dengan guru Tadika Kemas Bongkok. Beliau terkejut dengan kunjungan kami kerana tidak dimaklumkan tentang program Sambutan Bulan Dakwah Peringkat Daerah Bera 2009 yang akan diadakan di Kg Asli Bongkok.

Walau bagaimanapun beliau tetap seronok dan bersedia memberikan sokongan. Beliau mahukan pertandingan yang ada kelainan. Bukan lagi pertandingan mewarna. Untuk itu kami akan mengadakan pertandingan Bina Menara. Pertandingan Bina Menara ini telah banyak kali kami adakan untuk pelajar tadika, rendah dan menengah. Adakalanya pelajar tadika boleh mengalahkan pelajar sekolah rendah. Ada juga masanya pelajar sekolah rendah mengalahkan pelajar sekolah menengah.

Dalam pada itu , guru tersebut sempat bercerita tentang masalah yang dihadapai oleh penduduk Islam di Kg Asli Bongkok. Mengikut tinjuan beliau terdapat lebih kurang 10 orang penduduk Islam di Kg Asli Bongkok ini. Guru tersebut telah 4 tahun berkhidmat di Tadika Kemas Bongkok. Beliau amat gembira jika ada pihak yang berminat membantu penduduk Islam di Kg Asli Bongkok mendalami ilmu Islam. Mungkin kehadiran PERKIM Pahang pada 14-16 Julai 2009 ini akan memberi tambahan ilmu kepada penduduk Islam di kampung ini.