Friday

chin peng sudah lari!

Setelah berjaya membuat temuramah dengan JP Mohd Noor tentang Komunis Chin Peng, saya ingin luaskan skop tersebut kepada kaum Cina pula. Susah juga nak dapatkan mood untuk kaum cina bercerita tentang komunis.
Akhirnya saya berpeluang berbual dengan seorang orang lama yang berumur 78 tahun. Pertemuan berlaku secara tak langsung di Restoran HM 2 di Kampung Baru Kerayong.

Cerita dimulakan tentang kehidupan dahulu beliau bersama JP Mohd Noor dalam mempertahankan negara tercinta daripada ancaman komunis.

Bila diajak berceritia tentang komunis, beliau terhenti seketika. Seterusnya beliau menyatakan pernah terserempak (dengan Chin Peng atau komunis, tapi tak dinyatakan di mana dan tak berani nak menyampuk nanti hilang mood nak bercerita).

"Baru angkat senapang mahu tembak, sudah hilang. Dia boleh lari ikut paya. Dia ada belajar lari dalam hutan."

"Rupanya dalam itu paya sudah bikin jalan untuk dia orang lari". Maksudnya bukan komunis ni boleh menghilangkan diri dalam paya, tetapi mereka telah membina jalan di tengah-tengah paya tersebut.

02
Bila ditanya pasal chin peng mahu balik ke Malaysia. Dijawabnya "Dia sudah lari, lari la, apa mau balik lagi. Dia sendiri lari."

Saya menambah lagi, "Mungkin ini Chin Peng mahu mati di Malaysia". Dengan tenang dijawab oleh beliau, "Mati mana-mana boleh mati. Serupa saja".

Seterusnya beliau menambah, "kita hidup di sini mesti mau baik-baik. Jangan bikin susah."

Saya terus menambah, "Ini komunis ramai orang tak suka". Saya terus mendiamkan diri untuk memberi peluang kepada beliau untuk mencari kata-kata. Dalam masa yang sama saya lihat air mata mula terbit dipenjuru mata. Mata beliau telah mula merah. Beliau terus membisu sambil memandang kearah jalan raya. Mungkin bimbang saya dapat melihat genangan airmatanya.

Beliau menyambung, "Ini komunis, kalau mereka tak suka, satu keluarga mereka bunuh. Saya punya keluarga mertua semua mati kena bunuh."

Mendengar ayat tersebut saya terkedu dan tak berani mengeluarkan sebarang kata. Bimbang akan terus melukakan hati yang talah lama pilu. Beliau terus menyambung, "Isteri saya mati (mungkin dibunuh oleh komunis bersama ahli keluarganya) masa umur (mungkin umur beliau) 40 tahun. Saya satu orang besarkan anak-anak". Saya terus menduga, "Tak kawin-kawin". Beliau jawab dengan tegas "Takkk, tak ada guna"

Beliau menambah lagi, "Jepun lagi baik. Bila dia orang lalu, dia orang mintak makan sama saya punya mak. Dia orang lagi mau bayar. Tapi mak saya tak mau, dia kasi saja."

Falsafah hidup beliau mudah, 'Kalau kita dapat seringgit, kita belanja seringgit, tak perlu berlebih-lebih'.

Tidak lama kemudian beliau terus bangun kononnya untuk mencari rakan yang telah memperkenalkan kami. Mungkin juga untuk menyembunyikan kepiluan yang telah berkudis di hati bila berbicara tentang komunis. Mungkin juga hujan air mata akan turun jika diteruskan bercerita tentang komunis atau chin peng.

01
Akhir sekali, anggaplah cerita ini adalah rekaan semata-mata tetapi boleh dijadikan peringatan. Sama-samalah kita cuba untuk hidup berbaik-baik. Janganlah timbulkan kekacauan, nanti kita sama-sama susah.

Sekian.